Papu Gomez percaya Atalanta mampu memenangi Liga Juara-Juara Eropah tatkala saingan itu berkemungkinan disambung menerusi satu perlawanan.

Atalanta menyinar sebelum wabak coronavirus menyebabkan penangguhan saingan bola sepak, Mac lalu, selepas kelab Serie A itu menewaskan Valencia 8-4 secara agrefat untuk mara ke suku akhir buat kali pertama.

UEFA mahu melengkapkan Liga Juara-Juara dan Liga Europa sebaik sahaja saingan domestik tamat sekali gus bermakna ia bakal dijalankan pada Ogos nanti.

Satu cadangan telah disuarakan di mana aksi suku akhir dan separuh akhir diadakan secara satu perlawanan -- berbanding dua pertemuan dalam format sebelum ini -- di Lisbon.

"Kami menikmati permainan, mengharungi pengalaman dan sejarah unik buat kelab dan bandar ini," kata Gomez.

"Kini, kami berada dalam suku akhir Liga Juara-Juara dan tampak sesuai untuk beraksi dalam format satu perlawanan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam 90 minit. Ia akan jadi sesuatu yang hebat."

Ditanya mengenai lawan yang ingin ditemui dalam final Liga Juara-Juara, Gomez memilih untuk berdepan rakan senegaranya, Lionel Messi.

"Mungkin kelab Sepanyol, diharapkan menentang Messi dan Barcelona," kata pemain berusia 32 tahun itu.

"Memikirkan corak permainan, saya boleh katakan kami lebih berpeluang berdepan pasukan dari Sepanyol berbanding England dan Jerman."

Saingan Serie A bakal bersambung pada 20 Jun ini selepas krisis coronavirus dan Atalanta -- yang kini menduduki tangga keempat selepas 25 perlawanan -- akan melayan kunjungan Sassuolo pada 21 Jun ini.