Asmawi puji taktikal Hodak

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2017 3721
Asmawi puji taktikal Hodak
Pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, memuji tindakan berani pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, yang merehatkan tonggak utama pasukan ketika berdepan Brunei dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 tahun di Paju, Korea Selatan.

Walaupun tindakan itu hanya membolehkan skuad negara menang tipis 1-0 ke atas Brunei, mereka tampak lebih bersedia berdepan Indonesia untuk melakar kemenangan 4-1, hari ini.

"Kita menang dalam tiga perlawanan berturut-turut dan perkara paling menarik, kita telah menewaskan Indonesia sekali lagi.

"Saya tertarik dengan jaringan dalam perlawanan ini, hasil daripada dua sepakan penalti, satu sepakan penjuru dan gerakan individu Nik Akif. Ia kekuatan kepada skuad Hodak pada ketika ini,” kata Asmawi.

Kemenangan meyakinkan ke atas Indonesia turut mendapat pujian bekas pengendali skuad B-19 tahun negara, Hassan Sazali Waras, yang optimis skuad kendalian Hodak mampu ke pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah 19 tahun.

Bagi Hassan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini wajar memberi tumpuan kepada  skuad ini yang boleh juga dijadikan skuad pelapis kebangsaan.

“Barisan pemain B-19 ini seharusnya dikekalkan sebagai pasukan pelapis kepada skuad  kebangsaan. Pada peringkat umur ini, mereka memerlukan pendedahan awal di peringkat antarabangsa bagi meneruskan kerjaya mereka pada masa akan datang,” kata Hassan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen