ARGENTINA 0 PERU 0

Harapan Argentina untuk melayakkan diri ke Piala Dunia semakin samar apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu Peru di Buenos Aires.


Magis Lionel Messi gagal berfungsi apabila percubaannya sekadar terkena tiang gol dan gagal membantu skuad kendalian Jorge Sampaoli mencipta kemenangan, sekaligus terkeluar daripada kedudukan yang bakal layak ke Piala Dunia, tahun depan.

Berdepan Peru di La Bombonera – laman kepada kelab Boca Juniors – gagal memberikan inspirasi kepada Argentina mengawal sebahagian besar perlawanan ini apabila gagal mencari ruang untuk menembusi penjaga gol, Pedro Gallese.

Messi yang turun beraksi – tanpa digandingkan bersama Paulo Dybala mahupun Mauro Icardi – gagal memberikan impak untuk Argentina.

Aksi keempat kelayakan tanpa sebarang kemenangan dengan Chile meraih tiga mata ke atas Ecuador menyaksikan Argentina turun ke tangga keenam, berada di luar kedudukan untuk aksi play-off menjelang perlawanan terakhir minggu depan.

Sampaoli telah membuat lima pertukaran ketika mereka seri 1-1 dengan Venezuela bulan lalu. Dybala merupakan salah seorang pemain yang tidak turun beraksi di sebalik persembahan cemerlang bersama juara Itali, Juventus, dan pengendali Argentina itu mendedahkan ia merupakan satu risiko untuk menurunkan Dybala bersama Messi kerana memiliki kualiti permainan yang sama.

Hanya tuah menanti Argentina yang bakal berdepan Ecuador, bagi menghidupkan peluang finalis Piala Dunia 2014 itu untuk beraksi di Russia 2018.