Argentina perlukan Messi -- Tevez minta lupakan persaraan

Oleh Staff Writer 19 Julai 2018 1073
Argentina perlukan Messi -- Tevez minta lupakan persaraan
Carlos Tevez memberitahu Lionel Messi agar tidak bersara daripada arena antarabangsa selepas laluan berliku yang dilalui Argentina dalam Piala Dunia di Russia.

Ia menjadi satu kempen yang ingin dilupakan oleh Messi dan Argentina selepas tersingkir dalam pusingan kedua selepas tewas di tangan Perancis sebelum Jorge Sampaoli akhirnya dipecat daripada jawatan pengurus pasukan.

Laporan mengenai masalah yang melanda Argentina mula diperkatakan sejak kekalahan mengejut 3-0 di tangan Croatia dalam aksi peringkat kumpulan, setelah keputusan seri 1-1 dengan Iceland membuatkan gergasi Amerika Selatan itu berdepan penyingkiran awal.

Messi, yang masih berusaha untuk mendapatkan kejuaraan pertama sejak menyarung jersi skuad senior Argentina, akhirnya melepasi halangan Nigeria menerusi kemenangan saat-saat akhir tetapi terkandas ketika berdepan Perancis.

Masa depan pemenang lima kali Ballon d'Or itu bersama pasukan negaranya tampak samar selepas pemain berusia 31 tahun itu bersara sebaik sahaja Argentina tunduk di tangan Chile dalam aksi final Copa America 2016.

Bagaimanapun, Tevez yang pernah melakukan 76 penampilan buat Argentina, menggesa pasukan kebangsaan agar meningkatkan usaha untuk memastikan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat negaranya itu mampu meraih kejayaan di peringkat dunia.

"Saya rasa Messi harus memikirkan tentang dirinya," kata Tevez.

"Dia harus berfikir bahawa jika tiada sebarang usaha yang membuatkannya gembira atau memberikan keselesaan kepadanya, agak sukar untuk memegang tanggungjawab mengetuai Argentina untuk bergelar juara melalui dirinya sendiri.

"Kita telah membuang banyak masa apabila tidak menggembirakannya serta gagal memberikan bantuan dalam mencapai sasaran. Bagi saya, kita bersalah kerana tidak dapat membuatkannya berasa selesa.

"Sebagai pemain serta seorang warga Argentina, saya memberitahunya bahawa kami memerlukannya. Dia perlu berehat untuk kekal tenang kerana kami memerlukannya. Ia disebabkan dia adalah nadi skuad Argentina dan selagi dia bermain bola sepak, ia akan menjadi sebegitu kerana Messi adalah idola terbesar Argentina. Dia harus memegang tanggungjawab itu.

"Kini, saya memintanya untuk berehat, tenangkan diri, kemudian kami akan memerlukannya di atas padang."

Dalam masa sama, fokus Argentina kini terarah kepada mencari pengganti buat Sampaoli.

Pengurus Peru, Ricardo Gareca, dan ketua jurulatih Colombia, Jose Pekerman, telah dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Pekerman mengetuai Argentina ketika Piala Dunia 2006 dan Tevez yang merupakan sebahagian daripada skuad yang layak ke suku akhir di Jerman itu percaya Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) patut mendapatkan kembali pengendali berusia 68 tahun itu.

"Saya rasa detik paling hampir untuk kami memenangi Piala Dunia adalah ketika bersama Pekerman. Jika kami menundukkan Jerman dalam suku akhir Piala Dunia 2006, kami tahu kejuaraan akan menjadi milik kami dan kami tewas melalui penentuan sepakan penalti.

"Zaman Pekerman telah banyak mengajar saya sewaktu kecil dan saya gembira dengannya, termasuk ketika era Hogu Tocalli, Gerardo Salorio serta Eduardo Julio Ortasun kerana mereka telah membentuk saya pada hari ini. Mereka banyak mengajar saya, membuatkan saya cukup bersyukur.

"Mereka mengajar saya untuk menjadi profesional pada usia 14 tahun dan hari ini, saya meneruskannya sehingga umur 34 tahun. Ia satu permulaan hebat buat seorang kanak-kanak. Daripada pengalaman saya, saya rasa Pekerman adalah individu yang mampu membimbing Argentina dengan baik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen