Pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, mengangkat martabat bola sepak Malaysia apabila golnya tersenarai dalam tiga gol terbaik Anugerah Puskas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menewaskan Lionel Messi dan Neymar.

Ia satu kejutan apabila jaringan Messi dan Neymar tidak tersenarai antara tiga gol terbaik walaupun pada satu ketika dua bintang tersohor dunia itu mendahului lapan lagi calon, termasuk Faiz, menerusi undi popular.

Namun hari ini, FIFA telah membuat pengumuman tiga calon akhir dengan menyaksikan Faiz tersenarai bersama pemain kelab Liga Brazil, Corinthians, Marlone, dan pemain skuad wanita bawah 17 tahun Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Marlone jarang menjaringkan gol buat semua lima kelab yang pernah diwakilinya, termasuk Corinthians. Tetapi gol akrobatiknya ketika menentang Cobresal membawa tuah buatnya.

Rodriguez pula adalah mesin pencetak gol Venezuela dalam Kejohanan B-17 Wanita Amerika Selatan 2016. Dia meledak enam gol, termasuk hatrik, dan membawa pasukannya untuk muncul juara.

Namun, gol Faiz sangat luar biasa. Dia mampu menggegar dunia dan kemenangannya kini terletak pada undian pencinta bola sepak yang akan diumumkan pemenangnya dalam Majlis Anugerah FIFA di Zurich, 9 Januari depan.