Ancelotti tidak patut dipersalahkan

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2017 844
Ancelotti tidak patut dipersalahkan
Pemain Bayern Munich, Thomas Muller, percaya bahawa bekas pengendali, Carlo Ancelotti, bukan individu yang sepatutnya dipersalahkan dalam kemerosotan prestasi pasukan selepas pengurus dari Itali itu dipecat, September lalu.

Bayern mengambil keputusan untuk melepaskan Ancelotti daripada jawatan itu susulan prestasi yang merudum sejak awal musim, termasuk kekalahan 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Isu pemecatan itu berlarutan setelah wujud spekulasi bahawa ia disebabkan oleh beberapa pemain utama pasukan yang tidak berpuas hati dengan pendekatan yang dilakukan oleh Ancelotti.

Bayern kini berada lima mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund, namun Muller yakin bahawa Ancelotti tidak patut dipersalahkan sepenuhnya.

Dalam satu sesi temubual dalam acara Audi, Muller menyifatkan prestasi yang melanda pasukannya itu datang daripada pemain-pemain.

"Faktor utama kepada masalah itu adalah disebabkan oleh prestasi pemain di atas padang kerana tidak beraksi seperti yang diharapkan.

"Kami harus realistik terhadap perkara ini dan tidak menyalahkan sepenuhnya kepada Ancelotti," katanya.

Selepas Jupp Heynckes dilantik sebagai pengurus pasukan sehingga penghujung musim, Muller menggesa peminat-peminat agar tidak menjangkakan perubahan mendadak.

"Kami harus berhati-hati dalam menetapkan sasaran.

""Kami tidak akan bermain corak bola sepak daripada planet lain dalam sekelip mata. Pasti akan ada waktu yang kritikal dalam sesetengah perlawanan," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen