ROSTOV 3 BAYERN 2

Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, menegaskan sikap sambil lewa bukanlah faktor di sebalik aksi hambar mereka berterusan berikutan kekalahan 3-2 kepada wakil dari Russia, Rostov, dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Anak buah Ancelotti tidak berupaya untuk bangkit melupakan kekalahan dalam pertembungan Klassiker kepada Borussia Dortmund minggu lalu, apabila tumbang kepada pendatang baru saingan Eropah itu.

Dengan Bayern sudahpun layak ke peringkat 16 terakhir, mereka kelihatan kurang bernafsu untuk memburu kemenangan sehingga membenarkan Sardar Azmoun, Christian Noboa dan Dmitry Poloz merobek gawang mereka.

Gol jaringan Douglas Costa dan Juan Bernat pula belum cukup untuk mengembalikan semangat juang Bayern mencipta kemenangan.

"Kami tidak memandang rendah Rostov," kata Ancelotti kepada laman rasmi kelab itu.

"Kami tidak bermain dengan baik -- itu bukan sebab utama kekalahan kami.

"Selepas permainan bersambung, kami melakukan terlalu banyak kesilapan. Pada ketika ini, ia sangat sukar untuk kami."

Ketua pasukan, Philipp Lahm , turut bersependapat bahawa kesilapan adalah punca merea tumbang dan mengecam sikap sambil lewa dalam kalangan skuad Bundesliga itu menjelang pertemuan dengan Bayer Leverkusen di Allianz Arena pada Sabtu ini.


"Kami mahu menang di sini, kami gagal," katanya. "Ketika ini, kami agak terlalu mengambil mudah.

"Kami perlu sedar bahawa pasukan lawan juga mampu menjaringkan gol dan kami boleh dihukum kerana membuat kesilapan.

"Ketika ini, kami membenarkan terlalu banyak kesilapan. Saya tidak pasti mengapa ini berlaku, tapi kami perlu mengatasinya secepat mungkin.

"Perlawanan sukar menanti pada Sabtu ini."