Pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, tidak menyembunyikan keinginannya untuk mengendalikan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, setelah penggempur Uruguay itu dikaitkan dengan kepulangan ke Stadium San Paolo.

Cavani menikmati tiga musim terbaik di Napoli, menyumbat 78 gol di pentas Serie A untuk mengesahkan status antara penyerang digeruni di Eropah sehingga membuatkan PSG mendapatkan khidmatnya lima tahun lalu.

Walaupun 19 gol merupakan jumlah terbanyak yang diraih dalam semusim bersama PSG ketika tempoh tiga tahun pertama, dia bangkit dalam musim 2016/17 dengan 35 gol dan terus bangkit.

Namun, laporan memiliki hubungan yang renggang dengan Neymar membuatkan wujud dakwaan Cavani mungkin akan meninggalkan kelab Ligue 1 itu.

Laporan media turut mendedahkan Napoli merupakan antara kelab yang sentiasa memantau situasi itu dan Ancelotti telah memberikan kenyataannya.

"Saya telah melatih banyak juara tetapi dia belum lagi," kata Ancelotti.

"Adakah saya mahukannya? Saya suka mengendalikan pemain bagus dan dia sangat hebat.

"Saya telah beraksi bersama Diego Maradona dan berbesar hati untuk menjadi pengurusnya. Dia salah seorang pemain yang sukar untuk dihadapi dan dia sangat baik kerana setiap kali kami menggunakan taktik keras untuk menghalangnya, dia tidak merungut."

Napoli mengejar Juventus hampir keseluruhan kempen Serie A musim lalu dan walaupun mereka menduduki tangga kedua di belakang Bianconeri selepas 12 perlawanan musim ini, mereka dibezakan dengan enam mata.

Namun, Ancelotti percaya kejuaraan bukan sesuatu yang terlalu jauh buat Napoli.

"Kejuaraan adalah satu impian tetapi bukan khayalan. Khayalan adalah perkara yang lebih jauh.

"Ini bukan masa untuk membuat jangkaan. Masih banyak perlawanan yang akan dilalui dan kami harus bersedia untuk Serie A dan Liga Juara-Juara Eropah. Melepasi peringkat kumpulan pastinya memuaskan hati," katanya lagi.