Carlo Ancelotti gembira dengan sokongan penuh Aurelio De Laurentiis dan mengucapkan terima kasih kepada pengerusi Napoli itu kerana menjelaskan "pembohongan" yang timbul dalam media.

Media Itali, Corriere dello Sport, pada bulan ini melaporkan Ancelotti sedang mempertimbangkan masa depannya di Stadio San Paolo berikutan prestasi tidak memberangsangkan kelab itu.

Napoli menuju jadual antarabangsa dengan hanya meraih satu kemenangan dalam empat perlawanan dan semakin ditinggalkan juara bertahan Serie A, Juventus, dengan enam mata.

De Laurentiis membantah khabar angin itu minggu ini mengenai kekeruhan hubungannya dengan Ancelotti sambil memberi jaminan bahawa pengurus veteran berkenaan boleh bertahan selama sedekad lagi sekiranya dia berhajat.

Ancelotti mengulangi pendiriannya bahawa dia gembira di Naples dan berhasrat untuk mengembalikan kempen pasukannya itu di landasan sebenar, bermula dengan kemenangan ke atas Hellas Verona di laman sendiri, tengah malam ini.

Menurutnya dalam sidang akhabr semalam, De Laurentiis telah membuang sampah yang diperkatakan terhadap mereka.

"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan saya sangat gembira di sini. Apa yang presiden katakan datang daripada hati.

"Saya gembira kerana dia mempunyai keyakinan terhadap saya dan saya juga gembira dia telah membuang beberapa pembohongan yang telah berlaku.

"Apa yang penting ketika ini ialah kami berharap untuk kembali mencipta kemenangan. Esok, kami mempunyai perlawanan yang sangat penting, yang akan memberikan kami peluang untuk meraih tiga mata dan kembali ke landasan kemenangan."

Dua keputusan seri berturut-turut telah mencetuskan ketegangan hubungan di antara Ancelotti dan kapten, Lorenzo Insigne, sehingga dipinggirkan ketika bertemu Genk.

Insigne pada minggu ini mengakui jarang bertentang mata dengan pengurusnya itu, namun Ancelotti menggariskan betapa pentingnya kelibat penggempur itu.

"Situasi dengan Lorenzo tidaklah begitu rumit," katanya. "Dia membuat permulaan yang sangat baik musim ini tetapi prestasinya kemudian merudum, jadi saya memutuskan untuk merehatkannya.

"Dia pemain utama ketika dia dalam situasi santai, gembira dan mampu memacu pasukannya dengan baik. Dia kurang berkesan apabila dalam situasi tertekan kerana ia menghalangnya daripada mempamerkan potensi sebenarnya.

"Saya tidak fikir dia kelihatan tajam dalam sesi latihan lalu memutuskan bahawa jalan terbaik adalah dengan merehatkannya. Ia satu tindakan yang mungkin tegas tetapi semua itu telah dijernihkan. Saya ulangi, Insigne adalah pemain yang sangat penting buat kami."