Ancelotti dipecat selepas Napoli sahkan tempat

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2019 2276
Ancelotti dipecat selepas Napoli sahkan tempat
Carlo Ancelotti dipecat oleh Napoli biarpun kelab Serie A itu layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Napoli menewaskan Genk 4-0 di laman sendiri untuk menamatkan kemarau sembilan perlawanan tanpa kemenangan dalam kesemua kejohanan, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku pasukan kedua terbaik di belakang Liverpool dalam Kumpulan E.

Khabar angin mengenai pengurus itu akan meninggalkan Stadium San Paolo selepas 18 bulan mengendalikan pasukan berkenaan bertiup kencang di Itali dengan bekas jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, dikaitkan sebagai penggantinya.

Selepas menewaskan Genk, Ancelotti berkata dia tidak akan meletakkan jawatan dan akan mengadakan perbincangan dengan presiden kelab, Aurelio De Laurentiis, mengenai masa depannya.

Napoli tidak lama kemudian memberikan respons dengan mengumumkan pemecatan pengurus itu menerusi satu kenyataan ringkas dalam laman sosial mereka.

Kenyataan itu berkata: "Napoli telah membuat keputusan untuk melucutkan jawatan pengurus teknikal pasukan utama daripada Encik Carlo Ancelotti.

"Hubungan persahabatan, maruah dan hormat di antara syarikat, presiden, Aurelio De Laurentiis, dan Carlo Ancelotti tetap utuh."

Pengurus berusia 60 tahun itu dikatakan berminat untuk menyertai Arsenal dan Everton, yang masing-masing memecat Unai Emery dan Marco Silva dua minggu lalu.

Napoli menamatkan Serie A musim lalu di tempat kedua dengan 11 mata di belakang Juventus, namun terperuk di tangga ketujuh musim ini gara-gara kemerosotan prestasi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen