"Kami tidak gentar.”

Itu keyakinan pertahanan Thailand, Philip Roller, menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini walaupun sedar perlawanan itu bakal dibanjiri ribuan penyokong tuan rumah sebagai pemain ke-12.


Thailand hadir dengan reputasi besar selaku juara bertahan dan persembahan mantap dalam saingan peringkat kumpulan.

Skuad bimbingan Milovan Rajevac itu merekodkan 15 gol daripada empat perlawanan untuk mengukuhkan status sebagai pasukan pilihan dalam pertemuan malam ini.

Bagaimanapun, cabaran getir tetap menanti juara lima kali itu kerana akan berdepan puluhan ribu penyokong tuan rumah yang menjadi senjata Malaysia.

"Sebelum ini, ketika berada di Jerman, saya berdepan banyak penyokong tetapi ia tidak penting di atas padang kerana apabila bermain bola sepak, anda tahu apa yang perlu dilakukan," kata Roller.

Roller yang merupakan pemain kelahiran Jerman menjadi antara tonggak utama skuad bimbingan Rajevac dalam kempen kali ini.

Beraksi sebagai pertahanan kanan, kelibat Roller tampak menghadirkan rasa gerun kepada lawan berdasarkan pengalamannya beraksi dalam Liga Jerman.

"Saya rasa kami tidak akan berdepan masalah. Setiap kali sebelum perlawanan, kami akan mengkaji lawan terlebih dahulu."