AMD mahu dapatkan lebih ramai bakat berdarah kacukan

Oleh Staff Writer 22 Disember 2019 1765
AMD mahu dapatkan lebih ramai bakat berdarah kacukan
Pengurus Besar Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Yusuf Ibrahim, menyahut cabaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meluaskan pencarian pemain berdarah kacukan di peringkat akar umbi. 

AMD bakal mempunyai seorang pemain berdarah kacukan Malaysia-Nigeria yang akan diserap bermula tahun depan menerusi projek pencarian bakat di seluruh negara. 

Yusuf menjelaskan pemilihan Aidiel Zacharia Firdaus Nelson Abdullah adalah selepas melihat pemain berusia 12 tahun itu menepati standard yang telah ditetapkan bagi memastikan hala tuju melahirkan pemain yang berkualiti. 

"Kami selari dengan pelan F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kami mahu mengambil langkah awal dalam mendapatkan bakat berdarah kacukan. Bakat serta potensi menjadi keutamaan sebelum diserap ke AMD," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mahu menarik minat lebih banyak pasukan dari Asia dan Eropah menyertai Piala Supermokh edisi seterusnya. 

"Kejohanan kali ini merupakan pendedahan kepada pemain AMD untuk bersaing di peringkat Asia bagi melihat kualiti pertandingan dan pemainnya sebelum kembali menjemput pasukan dari Eropah dan Asia tahun depan," katanya.

Ketua jurulatih AMD Malaysia Cougars, Osmera Omaro, pula berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya menundukkan AMD Malaysia Panthers 7-2 dalam aksi final Piala Supermokh 2019 dalam kategori B-14.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kedua-dua pasukan Malaysia ini telah menampilkan aksi yang cemerlang apabila berjaya melangkah ke perlawanan final," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen