EMPOLI 1 JUVENTUS 2

Massimiliano Allegri mengakui Juventus mempamerkan kepenatan ketika menang 2-1 ke atas Empoli, awal pagi tadi.


Jaringan berganda Cristiano Ronaldo -- yang kedua melalui rembatan deras dari jarak jauh -- memastikan kemenangan Juve, sekali gus melebarkan penguasaan penyandang juara Serie A itu kepada lapan mata di puncak.

Juve memenangi 12 daripada 13 perlawanan terakhir, justeru Allegri berasakan prestasi Bianconeri adalah lumrah bagi sebuah pasukan yang berjuang dalam jadual padat.

"Sebuah pasukan yang memenangi 12 daripada 13 perlawanan boleh menjadi sedikit letih," kata Allegri dalam sidang akhbar.

"Pasukan ini telah menemui rentak tetapi selepas 10 minit, kami mengendurkan hantaran, membenarkan Empoli melancarkan beberapa serangan balas.

"Empoli adalah sukar untuk dihadapi jadi kami harus waspada terhadap serangan kerana itulah caranya mereka menyumbat gol.

"Dalam babak kedua, kami telah mencipta banyak peluang dan layak meraih kemenangan tetapi kami menghormati Empoli kerana menjadikan perlawanan ini sangat teratur dan hebat.

"Ia adalah perlawanan yang harus dimenangi tanpa mengira prestasi. Tahniah harus diberikan kepada Empoli atas cara mereka bermain," tambahnya.