Massimiliano Allegri percaya taktik yang mendominasi bola sepak Itali adalah perkara karut dan ia patut dilihat sebagai satu seni.

Selepas meraih lima trofi di Turin, Allegri tidak berada dalam bidang pengurusan sejak meninggalkan Juventus penghujung musim lalu.

Bekas pengurus berusia 52 tahun itu mengendalikan Cristiano Ronaldo ketika musim terakhirnya di Juve, menyaksikan bekas bintang Real Madrid itu meledak 28 gol dalam semua kejohanan bagi musim 2018-19.

Dia mendedahkan cara untuk mendapatkan sentuhan terbaik pemain seperti Ronaldo adalah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mereka di atas padang dan tidak terikat dengan taktikal.

"Apabila bola sampai kepada Ronaldo, Paulo Dybala, Ronaldinho, Clarence Seedorf atau Andrea Pirlo, saya perlu meletakkan pemain lain dalam posisi menerima bola daripada mereka," katanya.

"Sebaik sahaja mereka menerima bola, mereka akan membuat keputusan yang terbaik. Anak saya berusia lapan tahun dan kini banyak menonton Youtube, menyaksikan ramai pemain hebat. Banyak perkara bagus yang mereka lakukan ketika serangan dan bertahan kerana bola sepak adalah seni.

"Di Itali, corak taktikal adalah karut. Bola sepak adalah seni dan setiap yang berkarya itu adalah pemain bertaraf dunia.

"Anda tidak perlu mengajar mereka tetapi hanya perlu meminati mereka. Apa yang perlu anda lakukan adalah membuatkan mereka selesa.

"Saya suka apabila melihat pemain hebat melakukan sesuatu yang istimewa. Di bangku simpanan, saya adalah pemerhati untuk setiap persembahan yang dilakukan oleh seseorang, iaitu pemain."