SPORTING CP 1 JUVENTUS 1

Massimiliano Allegri kecewa apabila Juventus terlepas peluang awal untuk merebut kelayakan ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas terikat 1-1 dengan Sporting CP di Lisbon, awal pagi tadi.


Juventus mempunyai peluang untuk meneruskan laluan mereka ke pusingan kalah mati tetapi juara Itali itu digagalkan dengan keputusan seri itu.

Skuad Allegri bernasib baik kerana meraih satu mata selepas Gonzalo Higuain meledak ketika perlawanan berbaki 11 minit untuk mengimbangi jaringan pembukaan daripada Bruno Cesar dalam saingan Kumpulan D itu.

Naib juara musim lalu, Juve, berada di tempat kedua dalam kumpulan, tiga mata di belakang Barcelona tetapi hanya tiga mata di depan Sporting dengan baki dua perlawanan.

"Ia memalukan -- kami tidak dapat mengesahkannya. Ia masih lagi terbuka, dengan dua lagi perlawanan yang sukar," katanya.

Allegri menambah: "Ia adalah separuh pertama yang buruk. Walaupun selepas dibolosi, tidak ada reaksi daripada kami -- kami tidak bangkit.

"Perlawanan lebih baik selepas rehat. Perubahan sekitar minit ke-70 menjadikan perlawanan lebih dinamik, seperti yang anda harapkan, tetapi sekalipun kami menyamakan kedudukan, permainan kami tidak lancar.

"Kami mempunyai peluang untuk mengubah perlawanan berpihak kepada kami tetapi kami tidak melakukannya.

"Jelas, kami perlu risau untuk menghasilkan prestasi terbaik kami. Kami akan menerima keputusan hari ini dan akan memikirkan tentang pertemuan dengan Benevento dengan penuh hormat dan fokus untuk memenangi perlawanan itu,"

Penyerang kelahiran Argentina, Higuain, sekali lagi menjadi wira untuk Juve setelah meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas AC Milan dalam Serie A, minggu lalu.

"Ia sukar. Barcelona menang di sini dengan gol sendiri, mereka bermula baik dan ia satu perkara penting. Sekarang kami perlu perbaiki dan bersedia untuk perlawanan pada Isnin," kata Higuain kepada Mediaset Premium.

"Perkara penting adalah tidak kalah kepada pasukan yang hebat, kami masih mempunyai kelebihan tiga mata ke atas mereka dan berharap untuk mendapatkan kelayakan dalam dua perlawanan seterusnya.

"Saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan. Kami meraih satu mata penting di tempat sukar," katanya.