UDINESE 0 JUVENTUS 2

Massimiliano Allegri mengiktiraf prestasi Rodrigo Bentancur setelah pemain tengah itu menyumbat gol pertama bersama Juventus dalam kemenangan 2-0 di Udinese, awal pagi tadi.


Bentancur mendedahkan pertengahan minggu ini tentang bagaimana Allegri mendesaknya untuk menjadi lebih garang ketika melancarkan asakan dan saranan itu segera disahutnya.

Pemain Uruguay itu membuka akaun golnya di Udine dengan memanfaatkan hantaran lintang Joao Cancelo untuk tandukan dari jarak dekat berhampiran Cristiano Ronaldo.

Penyerang Portugis itu menokok gol kedua perlawanan tidak lama kemudian untuk Juve merekodkan kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, Bentancur paling mencuri tumpuan Allegri yang memuji keberkesanannya.

"Ini mungkin perlawanan yang rumit tetapi kami memaparkan kematangan dan kegigihan yang sangat besar," kata pengurus berbangsa Itali itu kepada Sky Sport Italia.

"Pemain tahu apa yang sedang kami usahakan. Kadang-kadang kami agak kurang memberi tumpuan selepas mendahului, namun pada hari ini, itu tidak berlaku.

"Rodrigo Bentancur mengagumkan saya di bahagian tengah, baik daripada perspektif taktikal dan teknikal, malah dia juga menjaringkan gol.

"Secara keseluruhannya, saya berasakan bahawa kami tidak terlalu terburu-buru, begitupun kami masih menggunakan segenap padang untuk menggunakan kemampuan teknikal yang kami miliki.

"Rehat antarabangsa tiba pada masa yang tepat kerana kami memerlukan rehat. Kami perlu menetapkan sasaran baru pada setiap masa dan ketika ini, kami menyasarkan aksi tanpa bolos. Kami cenderung untuk bersikap mudah berpuas hati seandainya tidak menetapkan sasaran baru."

Cancelo merupakan salah seorang lagi pemain yang menyerlah untuk Juve dan Allegri kagum dengan peningkatan prestasi bek kanan itu.

"Cancelo bertambah bagus, secara teknikalnya dia luar biasa," tambah Allegri.

"Pada babak pertama dalam beberapa situasi, dia terperangkap di belakang, namun adakalanya dia terlalu bergantung kepada kepantasan dan agak perlahan dalam memulakan lariannya.

"Jadi dia perlu berlari pada saat yang sama dengan lawannya, itulah gerakan yang harus digilapnya. Hari ini dia benar-benar bagus."