Massimiliano Allegri menuntut Juventus agar meneruskan prestasi terbaik selepas menjarakkan diri di puncak liga dengan empat mata mengatasi Napoli.

Kemenangan 2-0 ke atas Atalanta awal pagi tadi membolehkan skuad Bianconeri itu meraih kemenangan ke-12 berturut-turut dalam lig, sambil sembilan daripadanya tanpa dibolosi.

Bagaimanapun, ketika saingan 2017/18 berbaki 10 perlawanan, Allegri berasakan bahawa anak-anak buahnya masih mampu terus berkembang.

"Kami tidak boleh memikirkan seperti gelaran Scudetto sudah berada dalam genggaman," kata Allegri.

"Ia peringkat yang penting pada musim ini tetapi kami harus terus melangkah dan terus memperkuatkan mental. Anda harus meningkat dalam setiap perlawanan.

"Napoli kini di belakang kami dan Juventus memerlukan lebih banyak mata untuk menjuarai liga. Kini, kami akan berdepan SPAL dan tentunya bukan mudah untuk menang di Ferrara," katanya.

Gonzalo Higuain membuka tirai jaringan ketika menentang Atalanta sebelum membuka ruang buat Blaise Matuidi menambah gol kedua untuk mengesahkan kemenangan The Old Lady.

"Higuain kini berkeyakinan tinggi dan mula membantu rakan sepasukan lain untuk mencipta jaringan.

"Tahap kecergasan Paulo Dybala juga semakin meningkat dan secara keseluruhan, seluruh pasukan menjadi semakin baik."

Jaringan Matuidi merupakan gol pertamanya buat Juve di laman sendiri, membuatkannya pantas memberikan pujian buat Higuain.

"Tentunya hebat dapat menjaringkan gol di depan penyokong sendiri dan saya mahu berterima kasih kepada Higuain kerana membantu dalam menghasilkan jaringan," ujar Matuidi.