Penjaga gol Liverpool, Alisson, percaya cabaran besar menanti pasukannya yang akan berdepan Napoli dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan bertandang ke Stadium San Paolo awal pagi Khamis ini dalam misi memburu kemenangan kedua saingan Kumpulan C.

Rekod kunjungan terakhir Alisson ke Napoli jelas baik setelah dia membantu kemenangan AS Roma dalam saingan Serie A, Mac lalu.

Dia masih segar dengan detik tersebut dan pemain antarabangsa Brazil itu sudah membayangkan saingan sengit yang bakal disajikan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu.

"Mereka menghasilkan 24 percubaan dengan 13 daripadanya tepat ke sasaran. Saya menyelamatkan 11 daripadanya dan hanya bolos dua kali," ujar Alisson dalam laman web rasmi pasukan tersebut.

"Ia sentiasa sukar bermain di tempat lawan yang kuat. Di Napoli, akan sentiasa ada sorakan penyokong yang ghairah. Pasukan mereka akan masuk ke padang dengan keinginan yang tinggi untuk menang.

"Kali terakhir saya ke sana, kami gembira kerana memperoleh kemenangan, namun ia perlawanan yang paling sukar buat saya sepanjang musim tersebut.

"Saya harap kami dapat bermain dengan baik tetapi ia sudah pasti akan memaksa saya bekerja keras," tambahnya.

Liverpool membuka kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-2 ke atas Paris Saint-Germain (PSG).

Bagi Alisson, kemenangan itu melonjakkan semangat pasukan sambil menegaskan aksi cemerlang perlu dikekalkan.

"Kami yakin dengan potensi kami. Selepas menumbangkan pasukan sehebat PSG, keyakinan pasti meningkat.

"Namun, ini merupakan perlawanan baru, jadi kami perlu melihatnya menerusi satu pandangan yang baru. Tunjukkan keinginan kami di atas padang. Berikan segalanya yang diperlukan seperti mana yang telah kami lakukan sejak awal musim ini.

"Di atas padang, kami bermain sebagai satu pasukan. Itu adalah kualiti utama yang kami miliki.

"Kekuatan kami bukan bergantung kepada pemain. Setiap pemain akan bersatu demi membawa nama Liverpool," ujarnya menjelang perlawanan itu.