Ali Imran, Harith Haiqal dipanggil Maloney

Oleh Bernama 15 Julai 2019 9695
Ali Imran, Harith Haiqal dipanggil Maloney
Dua pemain yang berguru di Jepun, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar, adalah antara 34 pemain yang dipanggil ketua jurulatih sementara skuad B-19 negara, Brad Maloney, bagi menyertai kem latihan di Wisma FAM, bermula Sabtu ini.

Ali Imran dan Harith Haiqal, yang merupakan pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), antara 21 pemain dipilih dari 11 negara Asia Tenggara, yang mana setiap negara diwakili dua pemain kecuali Vietnam, untuk membentuk sebuah pasukan ‘All-Star’.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan sesi latihan itu adalah sebagai persiapan dan persediaan awal untuk menghadapi Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, bulan depan.

Enam pemain turut disenaraikan untuk menggantikan mana-mana pemain daripada senarai asal sekiranya mengalami kecederaan.

Menurut FAM, selepas 15 hari latihan, Maloney akan memuktamadkan 23 pemain terbaik sebelum berlepas ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, 4 Ogos ini.

Skuad kendalian Maloney itu diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Vietnam, Singapura, Kemboja, Australia dan Thailand.

Malaysia akan berdepan tuan rumah pada 7 Ogos sebelum menentang Singapura (9 Ogos); Kemboja (11 Ogos); Australia (13 Ogos) dan Thailand (15 Ogos).

Untuk rekod, Malaysia muncul juara dalam edisi lalu selepas menewaskan Myanmar 4-3 dalam aksi final di Indonesia.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen