Alcacer kembali perkuat jentera serangan Dortmund

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2018 119
Alcacer kembali perkuat jentera serangan Dortmund
Penyerang Sepanyol, Paco Alcacer, bakal kembali beraksi buat Borussia Dortmund bagi aksi Piala Jerman menentang Union Berlin awal pagi esok selepas terlepas dua perlawanan sebelum ini akibat kecederaan paha.

Alcacer melalui permulaan cemerlang di pentas Bundesliga apabila mencatat tujuh gol dalam empat perlawanan dan dia turut meraih tiga jaringan bersama Sepanyol bagi saingan antarabangsa.

Pemain yang dipinjamkan dari Barcelona itu tidak beraksi sejak dikeluarkan selepas rehat ketika Dortmund menewaskan Stuttgart 4-0, 20 Oktober lalu, tetapi pengendali pasukan, Lucien Favre, berharap dia dapat diturunkan dalam aksi pertengahan minggu ini.

"Dia sudah kembali ke sesi latihan," kata Favre.

"Kami akan lihat jika dia boleh diturunkan atau tidak."

Favre juga mengesahkan Shinji Kagawa telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali selepas terlepas aksi Dortmund selama sebulan.

Pemain Jepun itu mungkin tersenarai dalam perubahan yang bakal dilakukan Favre menjelang aksi berdepan Union Berlin tatkala ketua jurulatih itu mahu mengekalkan kecergasan pemainnya.

"Mungkin akan ada beberapa perubahan tetapi segalanya belum pasti," tambah Favre.

"Kami sedar aksi piala tidak akan mudah. Mereka akan lebih tersusun.

"Kami mahu menang. Fokus kami hanya untuk aksi ini walaupun berdepan jadual padat."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen