Jordi Alba menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan Luis Enrique meskipun dipinggirkan oleh jurulatih baru Sepanyol itu dalam dua aksi terawal.

Luis Enrique dilantik sebagai jurulatih Sepanyol, Julai lalu, namun nama Alba tercicir dalam empat permainan terawal kendalian jurulatih berumur 48 tahun itu.

Pemain pertahanan Barcelona itu kembali merebut tempat menjelang pertembungan Liga Negara-Negara Eropah dengan Croatia serta aksi persahabatan menentang Bosnia-Herzegovina tetapi menolak laporan tentang hubungan keruhnya dengan jurulatih tersebut apabila pernah bekerjasama di Camp Nou di antara musim 2014 dan 2017.

"Ia sentiasa menarik untuk dipilih menyertai pasukan kebangsaan, lebih-lebih lagi kali ini," kata Alba dalam sidang media.

"Saya tiada masalah dengan Enrique, dia banyak membantu saya di Barcelona dan saya tidak tahu siapa yang bercakap perkara buruk tentangnya.

"Saya tidak pernah mempunyai masalah dengannya atau sepanjang di bawah bimbingannya. Kami saling mengenali satu sama lain dan ini memberi manfaat kepada kami.

"Dia adalah bos yang telah memenangi banyak gelaran dan mempunyai kerjaya yang hebat. Cara dia berurusan dengan pemain sangat baik.

"Saya amat berterima kasih atas semua mesej dan sokongan yang diterima, ini adalah masa yang menarik untuk saya dan pasukan."