VALENCIA 1 BARCELONA 1

Jordi Alba, Sergio Busquets dan pengendali pasukan, Ernesto Valverde, tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil kerana tidak membenarkan jaringan Lionel Messi ketika seri 1-1 dengan Valencia, semalam.


Pendahulu LaLiga, Barca, mendominasi separuh masa pertama dan berhak mendahului perlawanan selepas percubaan Messi ditampan oleh penjaga go, Neto.

Tetapi bola terlepas daripada genggaman penjaga gol itu dan telah melepasi garisan tetapi pengadil, Ignacio Iglesias Villanueva, serta pembantunya menafikan jaringan tersebut.

Valencia mendahului perlawanan pada minit ke-60 menerusi jaringan Rodrigo sebelum Alba menyelamatkan satu mata buat Barca di penghujung permainan tetapi kecewa pasukannya kehilangan dua mata penting.

"Setiap orang menyaksikan jaringan tersebut dibatalkan," kata Alba.

"Kami menyaksikan ulang tayang dan perkara ini turut berlaku ketika bertemu Real Betis. Jaringan yang dinafikan sangat jelas. Ternyata teknologi bantuan video amat diperlukan.

"Perkara yang sama berlaku kepada kami musim lalu. Kami tewas dalam saingan liga kerana perkara-perkara sebegini berlaku.

Sergio Busquets turut menyatakan, "Jelas kami berhak mendahului perlawanan dengan percubaan tersebut tetapi pengadil dan pembantunya tidak nampak perkara itu."

Valverde berpuas hati dengan keputusan ini apabila menyaksikan Barca masih kekal di kedudukan yang sama seperti sebelum perlawanan bermula walaupun menyifatkan kontroversi jaringan itu memberikan impak kepada pemain-pemain.

"Ia adalah perlawanan yang sangat baik. Kami gembira dan tidak berganjak daripada kedudukan ini. Ternyata kemenangan merupakan apa yang dicari oleh pasukan dalam perlawanan ini," ujarnya.

"Kami menguasai permainan pada babak pertama. Valencia mengambil keputusan untuk memberikan tekanan selepas perlawanan bersambung selepas rehat.

"Jaringan yang dibatalkan membuat kami kehilangan mata dan ia adalah satu keputusan salah daripada pengadil perlawanan."