Kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Ain, mengikat El Jaish 2-2 untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC dengan agregat 5-3, malam tadi.

Juara 2003 itu membawa bekalan 3-1 dalam pertemuan di Stadium Abdullah bin Khalifa itu. Selepas buntu pada separuh masa pertama, pemain harapan mereka dalam aksi separuh akhir pertama, Omar Abdulrahman, saling bertukar hantaran dengan Caio untuk membuka tirai gol perlawanan ketika hampir sejam permainan berlangsung.

Berselang beberapa minit selepas itu, El Jaish cuba bangkit untuk menghidupkan sisa perjuangan menerusi sentuhan penyudah pemain Brazil, Romarinho, pada pertengahan saingan sebelum melebarkan rekod jaringannya ketika permainan berbaki sembilan minit lagi.

Al Ain yang dibimbing oleh Zlatko Dalic, bagaimanapun, enggan berpeluk tubuh. Sungguhpun beberapa kali terlepas peluang menarik pada awal permainan, abang kepada Omar, Mohammed Abdulrahman, menyempurnakan peluang yang terhidang di depan gol untuk pasukannya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors, boleh dianggap sudah sebelah kaki untuk ke pentas final selepas menewaskan kelab senegara, FC Seoul, 4-1 dalam pertemuan pertama mereka.

Perlawanan akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 19 dan 26 November depan dengan juara akan meraih hadiah wang tunai USD3 juta (RM12.5j).