JUVENTUS 1 LYON 1

Massimiliano Allegri berang kerana Juventus hampir dimalukan Lyon pada awal pagi tadi, namun tetap yakin pasukannya berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.


Jaguh Serie A itu menuju aksi di Stadium Juventus tersebut dengan menyedari kemenangan akan menjamin kemaraan mereka untuk melepasi peringkat Kumpulan H.

Sepakan penalti yang disempurnakan Gonzalo Higuain pada babak pertama meletakkan Juventus di hadapan. Penyerang Argentina itu, bagaimanapun, terlepas peluang keemasan ketika perlawanan menuju waktu rehat.

Perencanaan awal Juventus tergugat susulan aksi hambar pada separuh masa kedua dan Corentin Tolisso membuatkan mereka terpaksa membayar dengan harga mahal apabila menanduk masuk gol penyamaan, sebelum Alexandre Lacazette hampir sahaja memastikan kemenangan buat Lyon pada masa kecederaan.

Allegri menggunakan kesempatan dalam sidang media selepas perlawanan berakhir dengan berkata, "Saya hanya berang apabila kami memberi mereka peluang besar pada saat-saat akhir.

"Perkara positifnya mengenai objektif kami adalah untuk layak dan saya rasa kami masih berada di posisi yang baik untuk menjayakannya.

"Selepas perlawanan terikat 1-1, kami tidak mahu mengambil risiko di bahagian pertahanan tapi itulah yang berlaku.

"Pada akhirnya, kami perlu melihat dari sudut positif. Kami tidak akan memenangi Liga Juara-Juara pada malam ini, begitu juga dalam perlawanan seterusnya.

"Kejohanan ini akan dimenangi bermula dari bulan Mac nanti. Ia satu pengembaraan, begitu juga dalam Serie A.

"Kami mempamerkan aksi menarik pada separuh masa pertama. Kami mengambil terlalu banyak risiko pada babak kedua tapi ia adalah normal kerana kami mengharungi banyak perlawanan penting tanpa beberapa pemain."

Allegri mempertaruhkan gandingan Higuain dan Mario Mandzukic bagi mengemudi jentera serangan berikutan ketiadaan Paulo Dybala dan ketua jurulatih itu gembira dengan usaha yang dilakukan penyerangnya.

"Mario bekerja keras, begitu juga Gonzalo kerana itu merupakan ciri-ciri yang dimiliki mereka," tambahnya.

"Buat masa ini, merekalah pilihan yang saya ada dan mereka telah memberikan aksi terbaik. Hanya keputusan tidak menyebelahi mereka."