ATLETICO MADRID 1 SEVILLA 2

Atletico Madrid gagal membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua pusingan suku akhir di tempat lawan selepas tewas 1-2 di tangan Sevilla dalam aksi pertama di Estadio Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.


Diego Simeone mempertaruhkan gandingan Antoine Griezmann dan Diego Costa di hadapan 51,000 penonton untuk merobek gawang lawan dan Costa hampir meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-12 menerusi tandukan, namun dibatalkan selepas Griezmann didakwa menghalang pergerakan penjaga gol, Sergio Rico.

Tujuh minit kemudian, bekas penyerang Chelsea itu sekali lagi kempunan untuk mencipta gol pembukaan selepas Rico melayangkan badan untuk menepis tandukannya.

Percubaan jarak jauh oleh Sergio Escudero hampir memerangkap Miguel Moya di gawang tuan rumah tetapi penjaga gol berusia 33 tahun itu sempat menguis bola keluar.

Usaha tanpa putus asa akhirnya membolehkan Costa membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang kaki kiri menewaskan Rico tetapi kelebihan itu sekadar bertahan selama tujuh minit apabila Jesus Navas memanfaatkan kesilapan Moya yang terkeluar dari posisi untuk menyamakan kedudukan.

Joaquin Correa mengejutkan Atletico dengan jaringan ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan apabila lariannya mengatasi dua pertahanan tuan rumah sebelum mudah menolak bola masuk melepasi Moya, sekaligus membolehkan Sevilla meraih kemenangan 2-1.

Atletico bakal bertemu Sevilla sekali lagi dalam aksi kedua pada 26 Januari di Estadio Sanchez Pizjuan.