Pertemuan di antara Manchester City dan Real Madrid serta Juventus dan Lyon dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah ditunda susulan wabak Coronavirus.

Juara Liga Perdana Inggeris, City, membuat keputusan hasil perbincangan dengan UEFA selepas Madrid disahkan dalam proses kuarantin setelah salah seorang daripada pemain bola keranjang kelab itu disahkan positif, semalam.

Aksi Juve juga ditunda selepas bek tengah, Daniele Rugani, didapati positif COVID-19 tatkala kelab Serie A itu kini menjalankan proses pengasingan.

"Aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri Manchester City menentang Real Madrid telah ditangguhkan," kata wakil kelab kendalian Pep Guardiola itu.

"Keputusan untuk menangguhkan aksi itu adalah hasil persetujuan dengan UEFA dan susulan pemain daripada Real Madrid diasingkan selama 15 hari setelah seorang pemain skuad bola keranjang disahkan positif COVID-19.

"Pihak kelab mengucapkan selamat buat pemain dan staf dalam skuad bola sepak dan bola keranjang Real Madrid.

"Maklumat seterusnya akan dimaklumkan mengenai jadual perlawanan, termasuk perkara berkaitan tiket."

Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), terdapat 2,140 kes disahkan Coronavirus di Sepanyol dan 12,462 di Itali.