Carlo Ancelotti berpendapat aksi Bayern Munich ketika tempoh 30 minit pertama perlawanan cukup sempurna di samping memuji aksi yang ditampilkan Thiago Alcantara dan Xabi Alonso.

Gandingan dua pemain Sepanyol itu cukup berkesan di bahagian tengah, sekaligus membantu Bayern meledak tiga gol dalam tempoh lapan minit separuh masa pertama bagi mengesahkan kemenangan ke atas RB Leipzig.

Jaringan sepakan penalti Robert Lewandowski pada hujung babak pertama mengesahkan kemenangan Bayern, dengan pihak lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kehilangan khidmat Emil Forsberg yang dibuang padang gara-gara kekasaran ke atas Philip Lahm.

"Saya sangat berpuas hati," Anceloti memberitahu Sky.

"Kami bermain dengan agresif sejak perlawanan dimulakan dan pemain saya menguasai hantaran bola. Gol awal memastikan perlawanan ini menjadi milik kami.

"Alonso tidak bermain dengan baik di posisi terbarunya, namun dia melakukan tugas yang diberikan dengan cukup baik sementara Thiago memainkan peranan selaku pembantu serangan dengan cukup mantap.

"Setiap pemain mempamerkan aksi seperti dijangkakan, terutama dalam tempoh 30 minit pertama -- segalanya berjalan dengan sempurna. Ini adalah perlawanan terbaik oleh pemain saya musim ini.

"Kemenangan ini menyuntik semangat terhadap pemain. Kami perlu memperbaiki setiap aksi."

Sementara itu, pengendali Leipzig, Ralph Hasenhuttl, mengakui pasukannya gagal menandingi kualiti Bayern.

"Kami sangat bangga dengan perjalanan kelab ini setakat ini, namun ketinggalan 3-0 dalam babak pertama akan menjadi pengajaran berguna.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Bayern. Kami tidak bermain sepertimana diharapkan meskipun semua pemain 100 peratus cergas.

"Forsberg sedar dia membuat kesilapan besar. Kini kami akan kehilangan khidmatnya ekoran penggantungan.

"Dia telah memohon maaf kepada kami."