Akmal Rizal beri saranan buat Luqman Hakim

Oleh Muzaffar Musa 7 Ogos 2020 5820
Akmal Rizal beri saranan buat Luqman Hakim
Bekas penyerang skuad negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, memberikan saranan buat penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, yang sah mengikat kontrak lima tahun bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, semalam.

Akmal Rizal pernah terpilih menyertai RC Strasbourg dan FCSR Haguenau di Perancis sekitar1999 hingga 2001.

Pernah melalui situasi yang sama ketika berusia 19 tahun, penolong jurulatih skuad Pulau Pinang itu memberikan saranan yang boleh dijadikan panduan buat Luqman Hakim.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Akmal Rizal berkata: "Saya ikuti perkembangan Lukman. Memang dia adalah pemain yang cukup berbakat. Dia memiliki tuah untuk dipilih ke sana (Belgium).

"Dia boleh ke sana terlebih dahulu untuk melihat persekitaran dan tiada masalah untuk membawa ahli keluarga bagi menemaninya sepanjang tempoh satu atau dua bulan sehingga boleh menyesuaikan diri dan berdikari.

"Sudah pasti ada rakyat Malaysia di sana dan mereka sendiri pasti sudah heboh memperkatakan mengenai Luqman, jadi pasti akan ada rakyat Malaysia di sana yang akan cuba membantunya.

"Ia akan memudahkan proses menyesuaikan diri dengan keadaan di Belgium.

"Saya harap pemain muda lain dapat menjadikan Luqman sebagai idola dan seorang yang akan mendorong mereka untuk keluar daripada Malaysia kerana sekiranya mereka hanya berada di sini (Malaysia), ia akan menjadi zon selesa buat mereka.

"Mereka tidak tahu apabila mereka keluar ke negara-negara Eropah atau ke kelab-kelab besar Asia, ia akan lebih mematangkan mereka untuk menjadi pemain yang mempunyai perwatakan yang lebih baik dan apabila mereka pulang ke Malaysia, mereka akan dapat menunjukkan ilmu yang mereka peroleh dari luar negara kepada pemain-pemain lain," katanya.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen