Pemain muda Kedah, Akhyar Rashid, digunakan hampir dalam kesemua perlawanan skuad kebangsaan B-19, 23 dan senior sejak tahun lalu, namun dia tidak mengaggap ia satu beban, malah menyifatkannya sebagai pendedahan terbaik dalam usaha menjadi aset penting bola sepak negara pada masa akan datang.

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, nama Akhyar meniti bukan sahaja dalam skuad B-19 negara, namun turut memikat hati barisan kejurulatihan skuad B-23 negara serta skuad senior.

Akhyar sudah beraksi dalam beberapa temasya penting untuk tiga skuad umur berlainan, antaranya Piala AFF B-19 tahun, Sukan Asia Indonesia, Kejohanan AFC B-23 tahun dan beberapa perlawanan persahabatan membabitkan skuad senior.

Tiada istilah penat untuk Akhyar yang sentiasa bersedia mengerah keringatnya meskipun tidak mendapat rehat panjang berbanding rakan sebaya yang lain.

"Saya rasa tidak ada sebarang masalah memandangkan ini adalah minat dan pekerjaan saya.

"Apa yang saya gusarkan adalah kecederaan, namun setakat ini saya bebas daripadanya dan boleh menumpukan kepada persiapan menjelang Piala AFF nanti," katanya.

Akhyar kembali melapor diri hari ini selepas diberikan cuti sehari oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, kerana baru tamat tugasan di Jakarta bersama skuad B-19 tahun kebangsaan.

"Setakat ini, saya lebih menumpukan kepada minit permainan dan akan meningkatkan tahap kecergasan saya."

Latihan skuad negara dimeriahkan lagi dengan kehadiran pemain remaja yang beraksi dalam Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tampil memberikan sokongan bersama penaja 100Plus.