Pemain sayap skuad B-23 tahun, Akhyar Rashid, mengakui dia kini berasa lebih yakin merebut tempat dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berbanding sebelum ini.

Akhyar merupakan antara empat pemain daripada skuad B-19 tahun yang paling kerap dipanggil menyertai skuad B-23 tahun.

Bagi tahun 2017, Akhyar telah beraksi dalam saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun dan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

"Saya sangat bersyukur dapat dipilih untuk beraksi bersama skuad kendalian B-23, saya akan cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Akhyar meletakkan hasrat untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain ke pusingan akhir saingan Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Pemain Kedah ini juga mengakui kini berasa lebih seronok dalam skuad negara ekoran kehadiran rakan sepasukannya seperti Hadi Fayyadh, Nik Akif Shahiran dan Shivan Pillay Asokan.

"Sebelum ini, hanya saya daripada skuad B-19 beraksi bersama skuad kendalian Kim Swee, kali ini kehadiran beberapa rakan daripada skuad B-19 meningkatkan semangat saya. Pemain-pemain senior turut memberikan banyak sokongan kepada saya," ujarnya.