Ketua jurulatih Sime Darby FC, Ahmad Yusoff, enggan memikirkan masa depannya bersama pasukan itu musim depan, sebaliknya mahu pemain menikmati kejayaan menjulang Piala FAM 2017 sebelum kembali ke Liga Perdana.

Ahmad memberikan pujian di atas usaha keras barisan pemainnya yang bergelut untuk memastikan Piala FAM menjadi milik mereka dan lebih bermakna, mereka kembali beraksi ke saingan Liga Perdana pada musim depan.

Bagaimanapun, dia menganggap ia bukanlah masa yang sesuai untuk memikirkan kedudukannya selaku pengendali, sebaliknya akan menghormati apa jua yang diputuskan oleh pihak pengurusan nanti.

“Ada beberapa pemain yang akan dikekalkan tetapi terdapat juga nama yang bakal digugurkan tetapi buat masa sekarang, saya tidak mahu memikirkan soal itu,” katanya.

Sementara itu, pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, menyifatkan anak buahnya telah melakukan yang terbaik untuk aksi final walaupun gagal menjulang piala.

Apa yang penting, mereka tetap layak ke Liga Perdana 2018 dan berharap barisan pemain daripada kalangan pelajar dapat dikekalkan musim depan.

“Saya ingin kekalkan UKM FC, mengekalkan majoriti pemain yang merupakan pelajar. Jika ada peluang untuk mendapatkan tenaga import, pemain import juga terdiri daripada pelajar.

“Saya mahukan imej institusi pengajian tinggi (IPT) ini dikekalkan, seperti apa yang dilakukan oleh UITM FC,” ujar Sulaiman.