Bekas pengendali Sime Darby FC, Ahmad Yusof, disahkan akan membimbing pasukan berpangkalan di Hulu Terengganu, Hanelang FC, dalam saingan Liga FAM pada musim depan.

Sentuhan jurulatih berpengalaman itu, yang membawa Sime Darby menjuarai Liga FAM, kini ditagih pasukan barunya yang meletakkan sasaran beraksi dalam Liga Perdana pada 2019.

Hadir dengan reputasi cemerlang, Ahmad Yusof begitupun tidak mengambil mudah cabaran bersama Hanelang FC sambil menyatakan kesediaan memikul tanggungjawab membentuk barisan mantap.

“Saya baru menilai beberapa pemain sahaja dan kami akan gabungkan pemain senior dan pemain muda.

“Ini bukan tugas yang mudah tetapi juga bukan tugas mustahil. Sekiranya semua memberikan komitmen, Hanelang mampu mencapai impian memenangi Liga FAM,” ujarnya.

Ahmad Yusof ditemui pada Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC bersama penaja rasmi kedua-dua pasukan, Tulangis Group di Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, jurulatih TCFC, Roshaidi Wahab, yang diberi kepercayaan meneruskan tugas memperbaiki pencapaian suku akhir, musim lalu.

Selain mengekalkan majoriti pemain, Roshaidi juga mengesahkan membawa masuk khidmat 10 muka baru antaranya pemain berpengalaman, Hasmizan Kamarodin, Reeshafiq Alwi dan Hariri Mohd Safii.

“Musim lalu, persiapan kami agak lewat dan terganggu. Jadi, untuk musim 2018, saya yakin TCFC lebih bersedia melakukan lebih baik lagi.

“Proses pemilihan pemain masih berjalan dan barisan pemain baru ini diharap berjuang habis-habisan,” tambah Roshaidi.