Sergio Aguero menghamburkan pujian buat rakan sepasukannya di Manchester City selepas membantunya memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman City ketika menundukkan Napoli.

Penyerang berusia 29 tahun itu memadamkan rekod selama 79 tahun milik Eric Brooke selepas jaringannya pada minit ke-69 membolehkan bekas peledak Atletico Madrid itu meraih gol ke-178 peribadi.

Lebih manis, rekod itu dicipta seiring dengan kejayaan City layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara hasil 12 mata daripada empat perlawanan.

Jaringan Lorenzo Insigne meletakkan anak-anak buah Pep Guardiola ketinggalan di awal permainan tetapi jaringan daripada Nicolas Otamendi, John Stones, Aguero dan Raheem Sterling membolehkan pelawat mengesahkan kedudukan dalam kelompok 16 terakhir saingan musim ini.

"Saya sangat gembira ketika ini. Saya gembira kerana seluruh pasukan membantu saya, begitu juga dengan penyokong serta semua staf pasukan. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua.

"Saya sedang menikmati detik ini kerana ia hanya berlaku sekali.

"Kami akan meneruskan aksi pada hari ini. Setiap perlawanan, kami turun dengan misi sama dan kini, kami berada dalam kedudukan terbaik tetapi perlu diingat, musim masih panjang," kata Aguero.