Pep Guardiola percaya Sergio Aguero mampu meletakkan dirinya sehebat bintang Barcelona, Lionel Messi dan Luis Suarez, dan mahu penjaring terbanyak Manchester City itu meletakkan kepercayaan terhadap kemampuannya.

Aguero meledak dua gol tatkala City kembali ke landasan kemenangan menewaskan West Brom 4-0 pada Sabtu, sekaligus meningkatkan jumlah jaringannya musim ini kepada 13 gol.

Pemain berusia 28 tahun itu buntu memecah kebuntuan dalam enam perlawanan, dengan Guardiola hanya menurunkan pemain itu dalam tiga perlawanan selaku anggota kesebelasan utama.

Messi dan rakan sepasukannya kini berada di Manchester bagi menghadapi City dalam perlawanan keempat saingan Kumpulan C, Liga Juara-Juara pada Selasa selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas lawan sama di Nou Camp sebelum ini.

Meskipun tidak diturunkan di Sepanyol, Pep kini memberi jaminan penyerang berbisanya itu akan beraksi di Etihad.

"Pada saya, di dalam kotak, Aguero berada di tahap sama seperti Messi dan Suarez.

"Dia antara pemain paling baik pernah saya temui. Saya berbangga kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Sergio. Namun, dia perlu diyakinkan bahawa dia seorang pemain bertaraf dunia.

"Dia perlu sedar akan perkara itu. Jika dia sedar dengan lebih awal, ia akan membawa kebaikan kepada pasukan."