“Kecewa tetapi kami telah berikan segalanya.”

Itu luahan pertahanan negara, Shivan Pillay Asokan, yang mengakui dia dan rakan sepasukan hampa susulan gagal merebut slot ke suku akhir Kejohanan AFC B-19 selepas tewas 0-2 kepada China dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Pakansari, semalam.

Shivan mempamerkan prestasi baik berbanding dua perlawanan lalu tetapi masih gagal menemui sentuhan jaringan dalam aksi kali ini.

Malah, pemain PKNS FC itu berbangga dengan sikap rakan sepasukan yang kekal berusaha sehingga ke minit terakhir walaupun ketinggalan dua jaringan kepada China.

"Saya kecewa kami tidak layak ke suku akhir tetapi sangat bangga kerana beraksi secara bermati-matian. Saya rasa ini adalah pengalaman yang harus dipelajari oleh kami.

"Saya rasa kami tidak menyempurnakan peluang dengan baik tetapi itu bukan sesuatu yang mudah. Walaupun telah melakukan yang terbaik, jika bola tidak masuk ke dalam gawang, kami tidak boleh berkata apa-apa. Itu adalah bola sepak," kata Shivan.

Selepas berakhir kejohanan itu, Shivan berharap generasi skuad tersebut akan terus berbakti kepada negara walaupun menerusi pasukan berbeza.

Baginya, pengalaman menjuarai Kejohanan AFF B-19 dan layak pusingan akhir AFC buat kali pertama sejak 2006 mampu menjadikan mereka pemain lebih matang di masa depan.

"Saya berharap dapat bersama rakan sepasukan dalam kejohanan lain di masa akan datang. Kami telah melalui pelbagai perkara, menjuarai Kejohanan AFF dan meraih pengalaman berharga di pentas AFC.

"Diharapkan kami mampu muncul juara di masa akan datang."