CHINA 2 MALAYSIA 0

Skuad bola sepak negara gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Kejohanan AFC B-19 selepas tewas 0-2 kepada China dalam perlawanan terakhir kumpulan D di Cinibong, Indonesia, sebentar tadi.


Jaringan daripada Tao Qianglong dan Yue Xu meranapkan impian skuad kendalian Bojan Hodak itu selepas mereka hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan sekali gus, terperosok di kedudukan tercorot kumpulan.

Dalam dua perlawanan terdahulu, Malaysia gagal mencatat sebarang kemenangan setelah tewas 2-1 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pertama sebelum diikat seri 2-2 oleh Tajikistan.

Beraksi di Stadium Pakansari, skuad negara gagal menyekat kemaraan China dalam babak pertama tatkala lawan yang masih belum meraih sebarang mata mempamerkan penguasaan permainan.

Anak buah Hodak hampir dibolosi pada minit ke-25 tetapi tandukan Guo Tianyu tersasar ke bahagian kanan gawang.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi skuad negara apabila gawang yang dikawal oleh Azri Ghani akhirnya bolos pada minit ke-44 susulan Qianglong bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gol selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kanan.

Tianyu hampir melebarkan kedudukan buat China pada minit ke-57 tetapi teknik penyudah yang dipamerkan selepas menerima hantaran dari sebelah kiri menyaksikan bola tepat ke dakapan Azri.

Namun, China menambah gol kedua seminit kemudian, kali ini menerusi sepakan deras dari luar kotak penalti oleh Xu melepasi jangkauan Azri.

Tonggak Kedah, Akhyar Rashid, hampir merapatkan jurang gol buat anak buah Hodak tatkala permainan berbaki 15 minit selepas melepasi halangan dua pertahanan lawan tetapi bola rembatan kaki kanannya sekadar singgah ke palang gol, sebelum percubaan jarak jauh Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-82 mudah didakap penjaga gol China itu.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat permainan, sekali gus meleburkan impian skuad negara mara ke pusingan suku akhir.

"Saya berasakan kami terlalu naif dalam kejohanan ini.

"Dalam peringkat seperti ini kami perlu menyudahkan setiap peluang yang ada kerana peluang itu tidak selalu datang.

"Cara kami bolos juga terlalu naif.

"Kami sepatutnya menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan seri," kata ketua jurulatih negara, Hodak.