Bekas bintang Brazil, Adriano, mendedahkan bahawa dirinya sedang dalam proses untuk kembali beraksi.

Bekas pemain berusia 35 tahun itu tidak tampil ke padang sejak kali terakhir bersama Miami United pada tahun lalu, namun pemenang Copa America dan Piala Konfederasi itu mahu kembali pada tahun depan.

Dia sering dibandingkan dengan ikon bola sepak dan juga rakan senegaranya, Ronaldo, ketika di puncak karier tetapi gagal memenuhi potensi yang dimiliki disebabkan isu-isu di luar padang.

Bagaimanapun, dia yang pernah memenangi empat kejuaraan Serie A bersama Inter Milan dan menjaringkan 74 gol di Itali, mahu menamatkan kariernya dengan lebih baik.

"Saya sedang melakukan persiapan untuk sebuah projek dan akan kembali berlatih pada Januari. Tanpa sebarang kelab," kata Adriano.

"Sejak berhenti, saya berjaya mengekalkan bentuk badan. Ini yang saya mahukan dan sedar ia perlu diteruskan.

"Saya mahu melakukannya untuk diri sendiri. Saya boleh mencapai had pada diri dan akan menentukan sama ada saya boleh bermain atau tidak.

"Saya tidak dapat melengkapkan karier. Sesuatu berlaku dan menyebabkan saya terpaksa melupakan bola sepak. Karier saya terkandas di tengah jalan," tambahnya.

Sepanjang 50 penampilan bersama skuad Brazil, Adriano menjaringkan 29 gol dalam tempoh tahun 10 tahun (2000-2010).