Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak diberikan kebenaran untuk berlepas ke Doha menjelang perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Guangzhou Evergrande, 19 November depan, demikian diumumkan dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih menutup pintu sempadan negara bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan ia secara tidak langsung menyaksikan kunjungan JDT ke Doha dalam perlawanan Kumpulan G itu tidak dapat direalisasikan.

Menurut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, pasukan itu kecewa dengan perkembangan berkenaan tetapi tetap menghormati keputusan kerajaan sambil mengutamakan keselamatan seluruh warga kelab itu.

"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim telah dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara bahawa kami tidak diberikan kebenaran untuk terbang ke Doha, Qatar untuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2020," katanya dalam kenyataan itu.

"Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia itu dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan Kerajaan Malaysia dan memahami tindakan atas faktor keselamatan ini terpaksa diambil disebabkan oleh peningkatan kes pandemik COVID-19.

"Keselamatan setiap orang — termasuk skuad JDT yang bakal ke Doha — adalah satu keutamaan. Kami berdoa dan berharap agar dunia dapat mengatasi pandemik ini sebelum bermulanya musim 2021," katanya.


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) telah dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa kami tidak...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, 11 November 2020


Berdasarkan perkara 6.2 peraturan kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.