Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menuntut persembahan mantap pasukannya apabila bertandang ke Stadium Hang Tuah, Sabtu ini, untuk bertemu Melaka United setelah selesa membenam PKNS FC dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Kata Abu Bakar, "Ini mampu meningkatkan moral dan keyakinan pemain. Saya akan memperkukuhkan lagi pasukan dan mencuba beberapa pemain import untuk mengisi posisi pertahanan, tengah dan serangan.

"Pemain import sepatutnya menjadi model kepada rakan sepasukan. Oleh itu, saya ambil masa untuk mengenal pasti pemain ini (import) kerana kualiti mereka sepatutnya menjadi model kepada pemain tempatan."

Menyentuh perihal pemain tempatan, Abu Bakar berpuas hati dengan komitmen dan kualiti mereka.

"Pemain pinjaman dari Liga Super Perak seperti Fikri Sudin, Syukri Abd Hamid dan Azrul Nizam Muhamad mempamerkan kualiti yang saya mahu. Malah, mereka mudah 'hadam' arahan saya. Pengalaman beraksi dalam Liga Super juga pasti membantu pasukan.

"Jika semuanya berjalan lancar, sasaran untuk berada dalam kelompok enam terbaik dan layak ke Piala Malaysia mampu direalisasikan".