Tahun 2018 dianggap musim terbaik buat arena bola sepak negara di pentas antarabangsa menerusi pencapaian skuad senior kebangsaan dan skuad B-23 negara tatkala kancah bola sepak tempatan dihiasi dengan pelbagai "drama" di dalam mahupun di luar padang.

Skuad B-23 negara terlebih dahulu mencetus sensasi menerusi pencapaian membanggakan dalam Kejohanan AFC B-23 yang berlangsung di China, Januari lalu.

Layak secara merit buat kali pertama dalam sejarah penganjuran kejohanan berkenaan, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu mara ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan 1-2.

Momentum skuad muda negara dibawa ke temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos lalu.

Mereka menamatkan kemarau 44 tahun kemenangan ke atas Korea Selatan apabila menang 2-1 dalam aksi kumpulan sebelum terkandas di peringkat kalah mati.

Pencapaian skuad muda negara dalam dua kejohanan berbeza itu tetap memberi sinar harapan kepada bola sepak Malaysia pada masa depan.

"Daripada segi komitmen pemain, mereka telah memberikan yang terbaik. Kami akan terus berusaha untuk saingan kelayakan Sukan Olimpik yang bakal bermula tahun depan," kata Kim Swee.

Kesinambungan itu diteruskan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF, November lalu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mengubati kerinduan peminat apabila menghampiri kejuaraan kedua selepas 2010 dengan menyingkirkan juara bertahan, Thailand, dalam separuh akhir sebelum kecundang di tangan Vietnam dengan agregat 2-3 di pentas final.

Pencapaian itu juga cukup penting buat bola sepak negara untuk kembali memulakan langkah baru selepas sekian lama merudum.

"Kami berharap persembahan yang dipamerkan akan dipertingkatkan lagi selepas ini. Perjalanan skuad negara bukan sahaja berakhir dengan layak ke final Piala AFF. Kami mahu memastikan lebih banyak lagi kejohanan yang dapat disertai skuad negara selepas ini," kata Cheng Hoe.

"Secara keseluruhan, kita harus berbangga dengan pencapaian skuad bola sepak negara. Pencapaian ini selari dengan sasaran yang ditetapkan dalam program F:30," kata pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully.

Di sebalik perkembangan positif itu, imej bola sepak negara sedikit tercalar susulan aksi hambar skuad B-16 tahun negara bimbingan Lim Teong Kim dalam Kejohanan AFC B-16 Tahun yang menyaksikan hasrat ke pentas Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan tidak kesampaian.

Bagaimanapun, arena bola sepak negara tetap disajikan pelbagai cerita menarik, suka dan duka sepanjang musim 2018, bermula dengan peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mac lalu.

Ia disusuli kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut sambil Pahang memenangi trofi Piala FA buat kali ketiga selepas 2006 dan 2014 dan diakhiri dengan kejayaan dramatik Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia.