Skuad bola keranjang wanita negara memperoleh motivasi tambahan untuk menghadapi Sukan SEA, Ogos depan selepas menamatkan Kejohanan Jemputan Antarabangsa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) selaku juara.

Kejuaraan sah milik skuad negara selepas menewaskan kelab dari China, Nan Shan, 73-63 semalam,
sekaligus menamatkan kempen dengan rekod 100 peratus kemenangan.

Jurulatih negara, Yoong Sze Yuin, menganggap pemain-pemainnya "lulus" ujian tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri tetapi tidak mahu mereka berasa terlalu selesa dengan kejayaan ini.

Jelasnya, masih ada aspek yang perlu diperbaiki dan dua pertandingan di Taiwan dan Guangzhou, China selepas ini diharapkan dapat menampilkan aksi lebih baik oleh skuad wanita.

"Pasukan saya telah meraih satu lonjakan motivasi selepas menjuarai kejohanan ini untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA nanti," kata Sze Yuin.

"Kami perlu memperbaiki permainan kami ketika bertahan, selain itu daripada segi kecergasan juga perlu dipertingkatkan," kata pemain bola keranjang wanita, Chong Yin Yin.

Sementara itu, skuad lelaki negara gagal mengikut jejak langkah skuad wanita untuk bergelar juara selepas tumpas kepada kelab Australia, ACBA Dragons, 63-59.

Meskipun berjaya mengatasi lawan yang sama dalam saingan peringkat kumpulan, rentak itu gagal diteruskan bagi perebutan kejuaraan.

Ternyata ia merupakan satu kekecewaan buat jurulatih negara, Goh Cheng Huat, tetapi mahu anak didiknya bangkit semula menjelang kem latihan selama 10 hari di New Zealand, bulan depan.

"Mana-mana pasukan boleh meraih kemenangan dalam perlawanan ini. Terdapat beberapa peluang yang telah gagal disempurnakan, ia merupakan antara faktor kekalahan kami," katanya.

Kredit imej: Maba International Basketball Invitation