Pengarah Urusan Brooklyn Nets, Sean Marks, menjelaskan bekas Pemain NBA Paling Bernilai, James Harden, menunjukkan perkembangan yang baik selepas dilanda masalah hamstring.

Harden terlepas lima perlawanan berturut-turut sejak tersisih dalam kemenangan Brooklyn ke atas New York Knicks, 5 April lalu.

Guard dalam barisan All-Star itu -- salah seorang calon untuk anugerah MVP musim ini menerusi purata 25.2 mata, 10.9 bantuan jaringan dan 8.0 rebound dalam setiap perlawanan -- sekadar menjadi penonton ketika pasukannya menang 130-115 ke atas Charlotte Hornets, sebentar tadi.

Marks kemudian menawarkan maklumat terkini mengenai Harden kepada wartawan: "Pemulihan James berjalan lancar. Dia tidak sabar untuk diturunkan sehari dua hari lagi -- ini bermakna dia boleh mengikuti sesi latihan empat lawan empat atau lima lawan lima.

"Mudah-mudahan jika semuanya lancar, dia akan turun untuk menyertai pasukan. Tetapi dia menunjukkan kemajuan dengan baik, dia sudah mencapai penanda arasnya dan kami akan terus berusaha.

"Mudah-mudahan ia tidak terlalu lama. Tetapi pada ketika ini, saya tidak dapat mengesahkan tarikh yang tepat sama ada dia memerlukan dua hari, lima hari lagi atau seterusnya."



Ketua jurulatih Nets, Steve Nash, juga ditanya mengenai kelibat Harden selepas pasukan yang sarat dengan bintang itu merakamkan pencapaian 38-18 menerusi sumbangan 25 mata dan 11 bantuan jaringan daripada Kevin Durant.

Steve Nash menambah: "Saya belum melihat lagi keadaan James. Dia turun berlatih ketika kami bercuti dan dalam perjalanan ke tempat lawan.

"Tetapi dia masih perlu melepasi tahap tertentu. Kalau diikutkan James mahu beraksi malam ini, tetapi kami juga perlu memikirkan aspek sains dan keselamatannya.

"Kami cuba mencari jalan tengah dan memastikan dia kembali dengan selamat tetapi dengan secepat mungkin."

Selepas ini The Nets akan bertandang ke Miami Heat (Isnin), New Orleans Pelicans (Selasa) dan Toronto Raptors (Khamis).