Kyrie Irving terpaksa membayar dengan harga mahal atas insidennya diperintah meninggalkan gelanggang apabila Brooklyn Nets tersungkur 101-126 kepada juara bertahan NBA, Los Angeles Lakers.

Irving (18 mata) dan penjaga Lakers, Dennis Schroder (19 mata), masing-masing dikenakan kad merah dalam suku ketiga pertembungan di Barclays Center, Brooklyn, itu di mana kedua-dua pemain saling bertengkar sebelum dileraikan pegawai perlawanan.

Mendahului 66-62 ketika itu, Lakers yang dilanda krisis kecederaan mula melonjakkan permainan mereka dengan memungut 15-2 mata untuk melebarkan penguasaan ke kedudukan 88-71 bagi kejayaan kesembilan di tempat sendiri.

Sekalipun tanpa LeBron James, Anthony Davis dan Kyle Kuzma, Andre Drummond memungut 20 mata dan 11 rebound buat Lakers, manakala Talen Horton-Tucker (14 mata dan 11 assist) termasuk double-double.

Bintang Nets, Kevin Durant, mencatat 22 mata, tujuh rebound dan lima bantuan jaringan dalam aksi keduanya sejak terlepas 23 perlawanan lalu.



Utah Jazz pula melanjutkan rentak kemenangan mereka di tempat sendiri kepada 24 perlawanan dengan mengatasi Sacramento Kings 128-112.

Donovan Mitchell mendahului senarai penjaring pertemuan itu dengan pungut 42 mata -- mata tertinggi musim ini- yang menyaksikan pemain All-Star berkenaan menghasilkan 30 mata buat kali ke-18 musim ini.

Mitchell muncul pemain Jazz keempat yang menjaringkan 35 mata dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk sebaris dengan Karl Malone, Adrian Dantley dan Pete Maravich.

Mike Conley (26 mata) dan Joe Ingles (20) juga menyumbang untuk Jazz, sementara pasangan Kings cuba memberi saingan menerusi De'Aaron Fox (30 mata) dan Richaun Holmes (25 mata dan 10 rebound).