Bintang Milwaukee Bucks, Giannis Antetokounmpo, enggan dilabel Pemain Paling Bernilai (MVP) sehinggalah dia berjaya merangkul kejuaraan NBA.

Antetokounmpo dinobatkan sebagai MVP buat tahun kedua berturut-turut selepas memimpin Bucks ke puncak Persidangan Timur menerusi rekod terbaik liga (56-17) sebelum terkandas dalam separuh akhir kempen di Walt Disney World Resort di Orlando, Florida itu.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang mencatat purata 29.5 mata, 13.6 rebound dan 5.6 bantuan jaringan per perlawanan -- muncul pemain pertama yang meraih anugerah MVP buat dua musim berturut-turut sejak bintang Golden State Warriors, Stephen Curry, melakukannya pada 2015 dan 2016.

Selepas memenangi anugerah MVP pertamanya tahun lalu, pemain dari Greece itu berkata: "Tolong, selepas hari ini jangan panggil saya MVP lagi sehingga saya memenanginya tahun depan."



Sebaik mengulangi pencapaian itu dengan meraih 85 daripada 101 undian, Antetokounmpo -- yang ditemui ketika Bucks tewas dengan agregat 1-4 kepada Miami Heat -- memberitahu TNT semalam: "Usah panggil saya MVP sehinggalah saya menjadi juara."

Selain itu, dia juga dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik untuk muncul pemain ketiga dalam sejarah yang memenangi anugerah berkenaan dan MVP pada musim yang sama untuk sebaris dengan Michael Jordan dan Hakeem Olajuwon.

"Saya gembira dengan pencapaian malam ini dan saya gembira untuk anugerah ini, tetapi saya sentiasa mendambakan (kejuaraan)," katanya.

"Saya selalu berusaha untuk menjadi lebih baik lagi untuk terus melakukannya selama beberapa tahun akan datang. Bagaimana saya boleh menjadi juara? Saya gembira. Saya bersyukur, tetapi bagaimana saya boleh melakukannya lagi? "

Kegagalan Milwaukee meningkatkan spekulasi mengenai masa depan Antetokounmpo yang mungkin mahukan angin baru.

Antetokounmpo akan menjadi ejen percuma pada akhir musim 2020-21 tatkala dia layak menerima kontrak lanjutan maksimum bernilai sekitar $254 juta (RM1.04 bilion) pada musim ini.

"Selagi semua orang memperjuangkan perkara yang sama, untuk menjadi juara, saya tidak nampak sebab mengapa saya tidak akan berada di Milwaukee untuk 15 tahun lagi."

Sementara itu, The Los Angeles Lakers meraih kemenangan pertama dalam siri pertemuan final Persidangan Barat apabila mengalahkan Denver Nuggets 126-114 sebentar tadi.

Taruhan utama Lakers, Anthony Davis dan LeBron James, menepati ramalan dengan masing-masing menyumbangkan mata dua angka.