Los Angeles Lakers berkata ia waktu paling sukar buat mereka ketika francais NBA itu merakamkan penghargaan buat kesemua yang memberikan sokongan susulan kematian tragis Kobe Bryant.

Legenda Lakers, Bryant, dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, Gianna, terbunuh bersama tujuh mangsa lain dalam satu nahas helikopter di Calabasas, California awal pagi semalam.

Perlawanan NBA di antara Lakers dan Los Angeles Clippers di Staples Center malam ini terpaksa ditunda bagi menghormati pemergian juara lima kali dan pemain paling bernilai (MVP) pada 2008 itu.

Lakers mengeluarkan kenyataan pertama mereka sejak tragedi itu dengan berkata: "Dengan nasihat Pejabat Liga NBA, perlawanan di antara Los Angeles Lakers dan Los Angeles Clippers pada Selasa, 28 Januari, akan ditunda ke tarikh baru.

"Los Angeles Lakers berterima kasih kepada semua yang terus memberikan sokongan dan ucapan takziah.

"Ia merupakan waktu paling sukar buat kami semua.

"Kami akan terus menyokong keluarga Bryant dan akan berkongsi segala maklumat yang kami ada," katanya.

Bryant, yang menyertai liga itu melalui Lakers pada 1996, diiktiraf sebagai salah seorang legenda NBA selepas menghabiskan tempoh selama 20 tahun di Los Angeles sebelum bersara pada 2016.

Selain 18 kali tersenarai dalam kalangan All-Star dan dua kali MVP perlawanan akhir NBA, Bryant juga memenangi dua pingat emas Sukan Olimpik bersama "The Dream Team' Amerika Syarikat pada 2008 dan 2012.




Editor: Muzaffar Musa