Shooting guard Cleveland Cavaliers, J.R. Smith, akan menjalani pembedahan terhadap ibu jari kanannya susulan mengalami kecederaan dalam kemenangan ke atas Milwaukee Bucks pada Selasa.

Smith terpaksa dikeluarkan dalam separuh masa pertama perlawanan ekoran masalah itu dan selepas pemeriksaan oleh pegawai perubatan, dia tidak dapat kembali untuk separuh masa kedua.

Pemain berusia 31 tahun itu kemudiannya menjalani rawatan susulan di Cleveland dan mendapati terdapat keretakan tulang di ibu jari kanannya sekaligus perlu menjalani pembedahan.

Smith, yang dilaporkan telah menandatangani kontrak empat tahun bernilai USD57 juta Oktober lalu, telah pun terlepas lima perlawanan sebelum ini atas masalah sama.

Meskipun Cavaliers gagal menyatakan tempoh pemain itu terpaksa diketepikan, dipercayai Cavs akan kehilangan khidmat Smith selama enam minggu.