Pertemuan sengit aksi SS Purple League (SSPL) nyata memihak kepada Kelab Badminton (KB) Serdang apabila pemain muda negara, Lee Zii Jia, mengesahkan kemenangan pasukannya 10-8 selepas menjinakkan wakil KB Bangsar Hawks, Chang Lip Seng, 11-6, 11-8, 11-7 (3-0), di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Terdahulu, pemain dari China, Yu Chen, berjaya mengutip mata pertama untuk pasukan KB Serdang apabila mudah menewaskan Muhammad Syafiq, 11-6, 11-5, 11-3 (3-0).

KB Bangsar Hawks, bagaimanapun, bangkit memberi saingan dalam kategori perseorangan wanita. Pemain mereka, Lee Ying Ying, menewaskan Han Luxuan, 5-11, 11-7, 11-9, 11-5 (3-1) untuk merapatkan mata perlawanan.

Selepas itu, perlawanan terus berlangsung sengit. Dalam kategori beregu lelaki, Gao Xiang Cheng/Zhou Bowei dari KB Bangsar Hawks terikat, 11-9, 10-11, 5-11, 10-7 (2-2) mengikut format 30 minit perlawanan ketika bertemu Ong Wei Khoon/Ooi Zi Heng dari KB Serdang.

Kategori beregu campuran menyaksikan kebangkitan KB Bangsar Hawks. Pasangan Joyce Chong/Pei Tian Yi mengatasi Derek Yeoh/Lim Jee Lynn dengan, 11-9, 11-9, 10-11, 11-0 (3-1), untuk mereka mendahului 8-7.

Bagaimanapun, dalam kategori terakhir iaitu perseorangan lelaki, pemain remaja nombor dua dunia, Lee Zii Jia, muncul wira apabila berjaya menang tiga set, 11-6,11-8,11-7 (3-0), sekaligus megesahkan kemenangan mutlak KB Serdang.

Menurut Lee Zii Jia, walaupun menang, dia tidak mahu pasukannya terlalu gembira kerana SSPL merupakan kejohanan yang memerlukan kemenangan secara berpasukan.

"Saya menang 3-0, perlawanan ini agak mudah bagi saya. Saya rasa kepantasan dalam melancarkan serangan membantu saya meraih kemenangan ini.

“SSPL merupakan satu kejohanan secara berpasukan. Jadi, kami perlu terus berusaha secara berpasukan dan bersemangat dalam setiap perlawanan untuk terus mendapatkan mata," kata pemain berasal dari Kedah itu.

Keputusan:

MS2: Muhammad Syafiq kk Yu Chen 0-3 (6-11, 5-11, 3-11).

WS: Lee Ying Ying mn Han Luxuan 3-1 (5-11, 11-7, 11-9, 11-5).

MD: Gao Xiang Cheng-Zhou Bowei seri dengan Ong Wei Khoon-Ooi Zi Heng 2-2 (11-9, 10-11, 5-11, 10-7).

XD: Joyce Choong-Pei Tian Yi kalahkan Derek Yeoh-Lim Jee Lynn 3-1 (11-9, 11-9, 10-11, 11-10).

MS1: Chang Lip Seng kalah kepada Lee Zii Jia 0-3 (6-11, 8-11, 7-11).