Hasrat pemain perseorangan muda negara, Lee Zii Jia, mencipta sejarah tersendiri untuk layak ke final sulung kejohanan bertaraf Grand Prix Emas tidak kesampaian apabila tewas kepada lawan dari Denmark, Rasmus Gemke, dalam separuh akhir Terbuka Jerman, semalam.

Terdahulu, dia menyingkirkan dua pemain pilihan, Qiao Bin, dan bintang Perancis, Brice Leverdez, untuk mara ke peringkat empat terakhir.

Bagaimanapun, seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan Zii Jia ketika dia tersungkur mudah di tangan Gemke, 11-21, 12-21, dalam tempoh 33 minit.

Sehubungan itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob, tampil menyuarakan pendapat mengenai keperluan untuk permata negara itu terus membentuk aksi lebih kukuh pada masa akan datang.

"Saya melihat dia harus lebih tenang ketika bermain dan saya fikir dia harus memulakan permainan dengan lebih terbuka.

"Jangan sentiasa mahu menyerang, harus lembut di depan jaring. Daripada segi serangan, dia seorang pemain yang mempunyai smash yang agak kuat," katanya.