Gara-gara ego sebagai pilihan kedua perseorangan lelaki dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia, Lee Zii Jia hampir mengucapkan selamat tinggal kepada Bilbao, Sepanyol, apabila wakil India, M. Mithun, memaksa pemain negara itu mengerah keringat dalam pusingan ketiga, lewat malam tadi.

Berbekalkan kelebihan di atas kertas, Zii Jia turun ke gelanggang dengan corak bersahaja sebelum Mithun menunjukkan bahawa dia benar-benar berhajat untuk mencipta kejutan.

Malah, perseorangan India itu berupaya meraih kemenangan 23-21 dalam set pertama, sesuatu yang tidak diduga Zii Jia dan kem Malaysia.

Selepas mengikat kedudukan hasil kemenangan Zii Jia pada set berikutnya dengan 21-18, wakil Malaysia itu kembali berada di dalam kedudukan rumit.

Set penentuan menyaksikan dia ketinggalan 7-1, sebelum bangkit mendahului saingan 11-9 dan kemudian memenangi pertemuan dramatik itu 21-18.

"Set pertama saya lebih bersahaja kerana memandang lawan saya mungkin mudah untuk saya tewaskan. Saya juga terkejut apabila dia beraksi dengan begitu baik.

"Saya bernasib baik kerana mampu untuk bangkit pada set kedua dan ketiga," jelas Zii Jia.

Pengajaran paling berguna buat Zii Jia adalah tidak memandang rendah kemampuan lawan apabila berdepan Kim Moon Jun dari Korea Selatan dalam pusingan keempat.

"Saya mendapat pengajaran yang begitu berguna untuk tidak memandang rendah pada pemain lawan. Saya berasa ia sesuatu yang cukup baik."