Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berasakan pemain muda, Lee Zii Jia, adalah jaguh dalam pembikinan dengan syarat pemain itu perlu memiliki keinginan untuk sentiasa menang bagi berada dalam kelompok terbaik dunia.

Zii Jia melakar kejutan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Bitburger Jerman dengan menewaskan pemain Perancis, Brice Leverdez, pada peringkat suku akhir, kelmarin.

Ia seolah-olah membalas dendam kekalahan Chong Wei ketika Leverdez menyingkirkannya dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Ogos lalu.

Menurut Chong Wei, biarpun gagal mara ke perlawanan akhir, banyak perkara positif yang boleh diasah dalam diri pemain muda berusia 19 tahun itu untuk menempatkan diri dalam kelompok elit perseorangan lelaki dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Dia baru berusia 19 tahun dan bagi saya, dia adalah pemain masa depan," katanya. "Ia bergantung kepada jurulatih dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) bagaimana untuk menjaganya. Persiapannya pada usia 19 tahun dianggap sudah bagus."

Kelemahan utama yang perlu diatasi Zii Jia adalah konsistensi, dan Chong Wei berharap pemain itu segera belajar menyerap tekanan bagi membentuk diri menjadi pemain berwibawa.

"Dia kena memberi tumpuan kepada prestasi, jangan untuk satu kejohanan sahaja. Tahun depan banyak kejohanan dan diharapkan dia boleh membuat persiapan yang lebih baik," katanya.

Anak jati Kedah itu mencipta impak baik sepanjang tahun ini apabila kerap kali berada di pentas separuh akhir saingan badminton antarabangsa.

Dia kini menempatkan diri dalam kelompok 60 pemain terbaik dunia berbanding berada di kedudukan ke-240 ketika mula beralih ke peringkat senior pada awal tahun ini.